SELANGOR FC
BERITA

Previu Perlawanan LS11 | Terengganu FC vs Selangor FC | Sang Penyu, Kita Bertemu Lagi

Sep 28, 2024 - FAS

Selangor FC bakal mengunjungi Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak bagi meneruskan saingan Liga Super 2024/25 menentang Terengganu FC hari ini jam 9 malam.

Ini merupakan pertemuan ke-124 di antara #TFCSFC. Gergasi Merah telah memenangi 53 perlawanan dan seri 26 seri. Selain itu, 247 jaringan gol telah terhasil daripada pertemuan dua pasukan ini. Kali terakhir menentang Sang Penyu adalah dalam perlawanan Separuh Akhir saingan Piala FA pada bulan Ogos yang lalu dengan keputusan agregat 6-4. 

Menurut Zikri Khalili, bek kanan Selangor FC, membuat persiapan tambahan bagi memastikan beliau dapat membantu pasukan untuk mendapatkan tiga mata seterusnya.

“InshaaAllah, pasukan telah bersedia untuk perlawanan menentang Terengganu FC pada malam ini. Para pemain telah membuat persiapan yang rapi mengikut perancangan ketua jurulatih, Nidzam Jamil dan barisan jurulatih yang lain. Saya juga ada buat persiapan tambahan untuk diri sendiri bagi mengenal pasti apa yang saya perlu lakukan, terutamanya dalam memperbaiki kesilapan-kesilapan sebelum ini agar dapat membantu pasukan membawa pulang tiga mata.” Kata beliau.

Beliau juga sempat meninggalkan pesanan buat para penyokong Merah Kuning, “Kepada yang hadir ke stadium pada malam ini, semoga dipermudahkan segala urusan. Kami akan berikan yang terbaik malam ini. Terima kasih atas sokongan yang diberikan.”

Bagi keberadaan pemain, Mukhairi Ajmal dan Alexander Agyarkwa masih menjalani sesi pemulihan daripada kecederaan masing-masing.

Pihak pengurusan Selangor FC mendoakan kejayaan pasukan dan percaya pasukan akan berikan yang terbaik untuk Gergasi Merah!

Demi Kebanggaan!